Gajah Perang ‘Terduduk’, Malaysia Mara Ke Final Dengan Agregat 2-2 Penentuan Gol Tempat Lawan

HARIMAU Malaya melangkah ke pentas akhir Piala AFF Suzuki 2018 selepas mengatasi juara bertahan, Thailand dengan kelebihan jaringan gol di tempat lawan selepas seri 2-2 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok sebentar tadi

Mencatat keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu anak didik Tan Cheng Hoe bangkit dua kali menyamakan kedudukan melalui jaringan Syahmi Safari dan Norshahrul Idlan Talaha pada setiap babak.

Hanya melakukan satu pertukaran dalam kesebelasan utama dengan memasukkan Nazirul Naim Che Hashim menggantikan Syazwan Andik yang mengalami kecederaan anak didik Tan Cheng Hoe berjaya menghadapi tekanan awal dari Thailand.

Memasuki minit ke 18, pertahanan tengah Malaysia, Aidil Zafuan Abd Radzak terpaksa dikeluarkan susulan kecederaan dialami dan digantikan Muhammad Irfan Zakaria yang kali pertama beraksi dipentas Piala AFF Suzuki 2018.

Selang tiga minit kemudian, Thailand memperolehi gol pertama melalui Thitiphan Puangjan yang menanduk masuk menewaskan penjaga gol Malaysia, Farizal Marlias.

Rembatan kencang Syahmi Safari dari luar kotak penalti pada minit ke 29 memastikan Malaysia berjaya menyamakan kedudukan 1-1.

Gol tersebut nyata menaikkan semangat dan keyakinan Harimau Malaya yang berjaya mengekang asakan tuan rumah sehinggalah kedua pasukan beredar ke bilik persalinan dengan keputusan seri 1-1.

Memasuki babak kedua Malaysia memiliki peluang menjaringkan gol namun Mat Yo merembat bola deras melepasi palang gol.

Pemain tuan rumah, Pansa Hemviboon meletakkan pasukan dihadapan apabila menjaringkan gol kedua pada minit 64 sebelum Mat Yo menyamakan kedudukan selang tujuh minit kemudian.

Ketika perlawanan hampir ditamatkan, tuan rumah memiliki peluang menjaringkan gol selepas dihadiahkan sepakan penalti namun penyerang tuan rumah Adisak Kraisorm merembat bola melepasi palang sebelum pengadil perlawanan dari Jordan, Adham Mohamad Tumah meniupkan wisel penamat.

Malaysia bakal membuat perhitungan terakhir pada 11 dan 15 Disember nanti menentang sama ada Vietnam mahupun Filipina yang bakal beraksi malam esok.

Sumber: SH

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*