Ciri-ciri Lelaki Soleh, Jangan Ditolak Jika Dia Melamarmu

Setiap wanita mendambakan lelaki yang soleh dalam dijadikan teman hidup mereka. Mereka mengimpikan seorang lelaki yang bagus akhlaknya terhadap Allah SWT dan taat perintah-Nya. Selain itu, tutur kata yang sopan dan sedap mata memandang juga merupakan ciri-ciri yang dicari oleh wanita. Namun adakah setiap kriteria yang diinginkan itu mudah untuk diperoleh?

Malah tidak dinafikan juga ada sesetengah wanita tidak meletakkan ciri-ciri seperti yang di atas dalam mencari pasangan hidup. Mereka merasakan memiliki insan seperti itu terlalu sempurna untuk mereka. Lebih baik cari yang biasa-biasa sahaja.

Perempuan 1: Kenapa awak tolak lamaran dia? Bukankah dia sudah cukup baik?

Perempuan 2: Terlalu alim sangatlah. Saya berasa tidak selesa.

Namun bagaimanakah ciri-ciri lelaki soleh yang dimaksudkan? Berikut adalah beberapa ciri-ciri lelaki soleh yang ‘jangan’ ditolak sekiranya dia datang melamar anda:

1. Baik hubungannya dengan Allah SWT

Ciri pertama yang perlu ada pada seorang lelaki adalah memiliki hubungan yang baik dengan Allah SWT. Hal ini dapat dilihat dari segi amal ibadahnya kepada Allah seperti solat 5 waktu dan melakukan amalan-amalan sunnah. Mereka yang memiliki peribadi seperti ini sentiasa ingin dekat dengan Allah dan akan menjauhi perkara-perkara yang dilarang. Sebagai contoh mereka akan menundukkan pandangannya pada wanita dan menjaga pergaulannya dengan wanita.

2. Hubungan baik dengan ibu bapanya (terutama ibu)

Ciri kedua yang dimiliki oleh lelaki soleh adalah memiliki hubungan yang baik dengan kedua-dua orang tua terutama dengan ibunya. Mereka yang menjaga hubungan baik dengan ibunya dan selalu taat akan perintah ibu nescaya akan melakukan perkara yang sama terhadap isterinya kelak. Allah SWT berfirman:

Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa

(An-Nisa 4:36)

عَنْ اَبِي هُرَيرَةَ رضي الله عنه قال جَاءَ رَجُلٌ الى رسولِ الله صلى الله عليه وسلم فقال يَا رسولَ الله مَنْ اَحَقًّ النّاسِ بِحُسْنِ صَحَابَتِي؟ قال: اُمُّك قال: ثُمَّ مَنْ؟ قال: ثُمَّ اُمُّك قال: ثم من؟ قال :ثم امُّك قال: ثم من؟ قال : ثم اَبُوْكَ

(اخرجه البخاري)

Ertinya: dari Abu Hurairah r.a. ia berkata: “Suatu saat ada seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW, lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah yang berhak aku pergauli dengan baik?” Rasulullah menjawab : “ Ibumu!”, lalu siapa? Rasulullah menjawab: “ Ibumu!”, lalu siapa? Rasulullah menjawab: “Ibumu!”. Sekali lagi orang itu bertanya: kemudian siapa? Rasulullah menjawab: “ Bapamu!”

(H.R.Bukhari)

Hadis di atas menjelaskan bahawa seorang anak yang soleh adalah anak yang sentiasa menjaga hubungan dengan kedua-dua orang tua terutama insan yang melahirkannya.

3. Prihatin terhadap kanak-kanak

Ciri yang ketiga adalah memiliki sifat keprihatinan dan ambil peduli terhadap anak-anak kecil. Apabila ternampak sahaja anak-anak kecil, secara semulajadi si dia akan menunjukkan keprihatinannya. Perasaan ini akan muncul tanpa disengajakan tetapi memang sudah sedia ada dalam dirinya. Hal ini sangat penting kerana mencari suami adalah sama seperti mencari calon ayah bagi anak-anak anda kelak.

Maka pastikanlah lelaki itu mempunyai sifat suka akan budak-budak. Baginda Rasulullah SAW juga sangat mencintai anak kecil. Ketika pulangnya dari peperangan apabila terserempak dengan anak kecil baginda turun dari untanya dan memberikan senyuman kepada anak kecil tersebut. Perkara ini menunjukkan baginda juga sangat prihatin terhadap kanak-kanak.

4. Baik hubungan sosial dan kemasyarakatan

Berumah tangga adalah proses yang lengkap iaitu dengan mempertemukan dua insan yang berbeza dari keluarga yang berbeza untuk kehidupan yang baru. Kehidupan berumah tangga sudah menjadi seperti satu kewajipan oleh setiap orang. Maka kemampuan dalam menjalin hubungan kemasyarakatan adalah sangat penting yang harus dimiliki oleh suami.

Suami juga adalah ketua keluarga dan dialah yang harus membimbing isteri dan anak-anaknya kearah kemasyarakatan. Contoh baik hubungan sosial dan kemasyarakatan yang dimaksudkan adalah seperti pergaulan sesama jiran tetangga, rakan sepejabat dan orang sekeliling.

5. Pandai mengurus kewangan

Ciri yang kelima adalah lelaki yang pandai mengurus kewangan. Ya, wang memang bukan segala-galanya. Namun kegagalan dalam mengurus wang dengan baik akan menjurus kepada kehancuran. Kehancuran yang dimaksudkan adalah seperti berlakunya perceraian dalam rumah tangga.

Kemampuan dalam mengurus wang atau kewangan dengan baik adalah kemampuan wajib yang mesti dimiliki oleh si suami. Baik hubungannya dengan wang bukan bererti seorang yang kaya raya. Si suami mestilah mampu mengendalikan wang dengan baik (dari segi pengeluaran dan perbelanjaan demi penggunaan masa hadapan)

Kesimpulan

Sedangkan Islam sendiri telah meletakkan panduan yang mulia dalam memilih calon suami. Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila datang kepadamu (untuk meminang) iaitu seseorang yang kamu telah rela terhadap agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah (anak perempuanmu) dengannya, apabila tidak, maka akan terjadi fitnah dan kerosakan yang meluas di muka bumi.”

(HR. At Tirmidzi)

Hadis di atas menjelaskan bahawa Rasulullah SAW menyeru agar mengutamakan moral dan agama dari faktor lainnya. Baginda berpesan jangan sampai berpaling daripadanya kerana ianya akan mengakibatkan kehancuran. Justeru, apa yang harus dilakukan sekiranya ada lelaki soleh datang melamar anda? Mahu menolak ke lamaran itu? Renung-renungkanlah.

Sumber: Kartel Dakwah

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*