Kurang Terima Undangan Nyanyian, Shima Kini Berniaga Warung Tepi Jalan

NAMANYA pernah gemilang sekitar 1990-an apabila lagu berjudul Teringin dan Setelah Aku Miliki menjadi siulan ramai ketika itu.Namun pada awal tahun 2000 nama Shima atau nama penuhnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman semakin pudar kerana tidak lagi aktif menyanyi.
Setelah lama menyepi, dia muncul semula selepas menyertai Gegar Vaganza musim pertama (GV1) pada 2014.

Namun, penyertaannya itu tidak seperti yang diharapkan kerana selepas program itu tamat, namanya kembali senyap dan tidak banyak menerima undangan nyanyian.
Bagi membantu ekonomi keluarga, Shima dan suami turut memulakan perniagaan kecil-kecilan menjual nasi campur.

Sebenarnya idea untuk memulakan perniagaan sudah lama difikirkan. Dahulu saya sering masak untuk rakan-rakan dan mereka memberi sokongan untuk saya memulakan perniagaan. Tetapi, dek kerana kekangan waktu niat tersebut tidak pernah menjadi.

Malah, rencana untuk membuka restoran juga tidak berlaku. Banyak proses yang perlu dilakukan dan saya tidak jumpa rakan niaga yang sesuai.

Sekarang rasanya masa yang tepat untuk memulakan perniagaan. Saya hanya berniaga secara kecil-kecilan. Jika usaha ini menjadi, siapa tahu satu hari nanti impian untuk membuka sebuah restoran akan tercapai, katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia Online.

Bagi sesiapa yang berminat merasai air tangan Shima, boleh datang ke warungnya yang diberi nama Warung Teringin di hadapan Pangsapuri Lestari, Damansara Damai, Selangor.

Kenali Shima

1989-1990: Sejarah awal

Ku Nazhatul Shima binti Ku Kamarazzaman (lahir pada 12 September 1969) atau lebih dikenali sebagai Shima merupakan seorang penyanyi rock Malaysia sekitar awal tahun 90’an dahulu. Pun begitu, keupayaan beliau menyampaikan lagu pop yang bernada tinggi sangat memukau peminat muzik rock tanahair suatu masa dahulu. Lagu Setelah Aku Kau Miliki dan Teringin membariskan nama Shima sebagai antara penyanyi yang popular pada era 90an.

Shima dilahirkan di Sungai Ara, Banting, Selangor pada 12 September 1969. Shima mendapat pendididikan awal di Sekolah Rendah Convent, Pelabuhan Klang, Selangor dan di Sekolah Menengah Sultan Abdul Samad, Banting, Selangor (Ayah Kamaruzzaman Shariff & Ibu Hajah Samuh Hassan).

Kerjaya Shima sebagai seorang penyanyi bermula dengan kumpulan Shima and The Boys menggantikan penyanyi asal kumpulan itu iaitu Ella, sebelum mengorak langkah sebagai penyanyi solo dengan album Shima. Album sulung Shima yang diterbitkan oleh Sani, Usop dan Siso pada tahun 1990 itu telah menaikkan nama Shima sebaris dengan dengan puteri-puteri rock yang lain. Lagu Di Sebalik Sejuta Wajah ciptaan Umarul (Iklim) ini sebenarnya begitu popular pada masa itu hingga menaikkan nama Shima antara sebagai penyanyi wanita baru yang popular waktu itu.

Kisah Shima bukan habis setakat itu, malah selepas kemunculan pertamanya bersama kumpulan itu, muncul pula gosip kononnya Shima bergaduh dengan Ella gara-gara The Boys. Populariti yang dikecapi bukan sahaja telah mencatatkan sejarah dalam diari Shima sebagai anak seni, malah ia juga telah mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan peminat Ella The Boys ketika itu.

Sedari awal Shima tahu apabila muncul bersama The Boys ramai yang menganggap dia merampas kumpulan itu daripada Ella. Tetapi sebenarnya, The Boys menawarkan beliau yang ketika itu menyanyi di sebuah kelab di Kelang untuk menjadi penyanyi utama. Selain Shima, Bibiyana Layola Lee juga pernah menjadi penyanyi The Boys ketika itu.

Hakikatnya, jodoh Shima bersama The Boys hanya bertahan untuk satu album sahaja. Shima kemudian meninggalkan The Boys untuk meneruskan karier secara solo dan masih mendapat sokongan daripada The Boys sendiri.

1990-1996: Setelah Aku Kau Miliki dan kemuncak kerjaya

Karier nyanyian Shima mencapai puncak kegemilangan apabila berjaya memenangai tempat kedua di Anugerah Juara Lagu edisi 1991 menerusi lagu Setelah Aku Kau Miliki petikan album kedua beliau. Lagu ciptaan Saari Amri itu juga berjaya memberi tuah kepada Shima apabila turut memenangi anugerah persembahan terbaik. Sejak itu, Shima menerusi syarikat rakaman Sony Music merencana projek untuk album ketiga yang lebih baik. Ternyata album Shima 3: Teringin itu berjaya meledak di pasaran dan lagu Teringin menjadi siulan anak muda.

Lagu itu layak ke Anugerah Juara Lagu 1993, biarpun tewas di tangan Fauziah Latiff, Shima menebus kekecewaan apabila memenangi anugerah Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Wanita) di Anugerah Industri Muzik yang pertama kali diadakan juga memenangi pertandingan Pujaan 10 Nescafe 1993 kategori persembahan solo terbaik dengan lagu Teringin.

Sony Music memberi peluang untuk Shima mencuba pelbagai jenis genre muzik menerusi penerbitan album More Than Your Girl pada hujung tahun 1993. Album berbahasa Inggeris itu berjaya meletakkan Shima sebagai penyanyi versatil. Tidak cukup dengan itu, Shima mencuba bakat dalam lakonan menerusi filem Sutera Putih. Ini bukan kali pertama beliau berlakon kerana sebelum itu pernah mencuba bakat dalam filem Red Hair Tumble in Malaya dan Kelisa.

Selepas itu Shima muncul semula dengan album Luka Dilukai pada tahun 1994. Album ini terus mengembalikan Shima sebagai seorang penyanyi wanita yang sangat popular di era 90an sebaris dengan nama-nama besar lain seperti Ziana Zain, Fauziah Latiff, Ella, Noraniza Idris, Aishah, Mas Idayu, Sheila Majid, Amelina, Amy Mastura dan Ramlah Ram. Disamping itu, Shima turut mewakili Malaysia bagi program Asia Live Special di Shanghai pada tahun 1996, anjuran NHK dan OTV.

1997-1999: Rasa dan Aku Tetap Aku Sunting

Wajah-wajah Shima di zaman kemuncaknya
Album kelima berjudul Rasa diterbitkan hampir 2 tahun setelah kejayaan Luka Dilukai. Pada tahun 1997 ketika itu, Shima terpaksa bersaing dengan ramai penyanyi baru yang mula menonjol seperti Nora, Siti Nurhaliza dan Liza Hanim. Biarpun sedikit tenggelam, jualan album Shima masih memberangsangkan malahan lagu Apaku Rasa berjaya mara ke Anugerah Juara Lagu 1997.

Sejak itu, karier nyanyian Shima menjadi sedikit ‘low profile’ setelah berumahtangga buat kali kedua. Shima bekerjasama dengan Hattan dan Fauzi Marzuki untuk album keenamnya yang berjudul Aku Tetap Aku. Kemunculan album ini disambut baik peminat, lagu Aku Tetap Aku berjaya menjuarai carta radio biarpun album kali ini berkonsepkan pop yang mana Shima menghilangkan terus bunyian rock dalam nyanyian beliau.

1999-2008: Bersara dari arena mainstream dan Ke Pangkuanmu

Sejak membuat persembahan di Anugerah Juara Lagu 1999 untuk lagu Aku Tetap Aku, Shima mengambil keputusan untuk berehat seketika dari arena nyanyian mainstream. Shima bercuti agak lama tanpa album terbaru. Sepanjang tempoh itu Shima banyak menyanyi di hotel-hotel. Lagu Mohon Diri yang diterbitkan dalam album kompilasi beliau sementara menanti buah tangan baharu.

Pada tahun 2006, Shima menerima pelawaan dari lagenda rock Ramli Sarip untuk menyumbangkan suara dalam album Ruh Zaman. Dalam album itu mereka tampil berduet dalam lagu nyanyian asal Jay Jay dan Dayangku Intan yang berjudul Kita Insan Biasa. Hanya pada tahun 2007, Shima menerima lamaran EMI Music (M) untuk kembali merakamkan suara.

Album Ke Pangkuanmu menjadi album terakhir Shima setakat ini. Album ini bagaimanapun tidak mendapat publisiti meluas biarpun beberapa single nya popular menerusi program drama TV (sebagai lagu tema). Shima dikatakan kecewa kerana stesen radio mengamalkan sikap pilih bulu dalam menyiarkan lagu-lagu penyanyi lama sepertinya.

Hingga kini, Shima telah melahirkan 8 buah album solo (tidak termasuk 1 buah album bersama The Boys), 4 buah album kompilasi dan sebuah album runut bunyi. Beliau menjadi salah seorang penyanyi wanita yang sangat masyhur pada era 90an dan berbekalkan bakat, personaliti dan auranya sebagai diva, Shima ternyata menjadi best kept secret dalam industri muzik Malaysia.

Sumber : wiki via media hikmah

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*