Empat Sahabat Berkelulusan Tinggi Nekad Berhenti Kerja Demi Usahakan Tanaman Cili Fertigasi

PADANG TERAP – Empat rakan karib yang mempunyai kelulusan dari pelbagai institusi pengajian tinggi dan institusi kemahiran tempatan nekad untuk mengusahakan sebidang tanah terbiar dengan menanam cili secara fertigasi di Kampung Musa, Mukim Pedu di sini.

Berbekalkan modal RM20,000 untuk peralatan tanaman, benih dan penyediaan medium tanah, Mohd Safri Mahmud, 25, Mohd Amiludin Afiz Wahab, 26, Mohd Irfan Azri Anas, 25, dan Mohd Shafiq Hakimi Nordin, 25, baru sahaja memulakan projek mereka Oktober lalu, dengan menanam 4,000 pokok cili di kawasan tanah seluas kira-kira 0.3 hektar.

Mohd Safri yang merupakan lulusan Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, berkata idea untuk mengusahakan projek itu tercetus selepas beliau memulakan tanaman cili secara kecil-kecilan di tepi rumahnya di sini lebih setahun lalu dengan 1,800 pokok dan mendapat permintaan tinggi.

Beliau berkata selepas melihat potensi dan kejayaan mengusahakan tanaman itu di tepi rumah, tiga rakannya yang masing-masing sebelum ini mempunyai pekerjaan membuat keputusan berhenti kerja dan menyertainya untuk menanam cili.

“Mohd Amiludin sebelum ini bekerja sebagai polis bantuan di Pulau Langkawi, Mohd Irfan Azri sebagai pereka grafik di sebuah pasar raya di Alor Setar dan Mohd Syafiq pula kerja kilang di Sungai Petani. Kesemua ambil keputusan berhenti kerja dan balik kampung tanam cili bersama saya,” katanya ketika ditemui pemberita di tapak projek tanaman itu di sini, hari ini.

Mohd Amiludin merupakan lulusan Institut Hasani, Sungai Petani, manakala Mohd Irfan Azri Anas dan Mohd Shafiq Hakimi Nordin lulusan Kolej UNITI, Port Dickson.

Mohd Safri yang mengetuai projek itu berkata, beliau dan rakan-rakannya menggunakan teknik fertigasi bagi tanaman cili mereka kerana menjimatkan masa dan mengehadkan penggunaan tanah selain menjimatkan penggunaan air antara 30 dan 50 peratus berbanding teknik tanaman tradisional dengan menanam terus di atas tanah.

Katanya, hasil tanaman mereka juga selamat untuk dimakan kerana menggunakan baja dan vitamin yang dihasilkan sendiri secara organik tanpa penggunaan racun kimia.

“Sistem kawalan air pula lebih cekap untuk memastikan pokok cili mendapat bekalan air dan nutrien secukupnya… sumber air dan nutrien yang mencukupi menjamin kualiti buah cili dihasilkan, berkilat dengan saiz besar dan panjang serta berat.

“Pokok-pokok ini ada diletakkan di atas tanah yang dilapik plastik khas dan sebahagiannya digantung dalam beg tanaman dan dalam dua minggu lagi kami akan tuai hasilnya untuk dijual secara borong atau jual sendiri di kantin sekolah dan pasar pagi,” katanya.

Katanya, beliau dan rakannya menyasarkan setiap pokok yang ditanam mampu menghasilkan dua kilogram cili yang mampu dijual antara RM7 dan RM10 sekilogram.

Menurutnya, hasil pertama tanaman yang baharu diusahakan dua bulan itu dijangka dituai dalam masa dua minggu lagi dengan keseluruhan hasil tuaian dianggarkan berjumlah lapan metrik tan yang mampu menjana pendapatan sebanyak RM60,000.

Bagi Mohd Amiludin Afiz, beliau berharap projek itu dapat membuahkan hasil lumayan dan menyasarkan untuk membuka lebih banyak kebun baharu bagi tanaman itu bagi memenuhi permintaan.

“Saya harap ada bantuan dari pihak berwajib untuk kami buka empat lagi kebun baharu agar hasil pengeluaran berterusan bagi memenuhi permintaan tinggi di pasaran,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Padang Terap, Mohamad Yuzaidi Azmi berkata projek berkenaan yang menggabungkan kawalan tanaman menggunakan kaedah kultura, biologi, dan mekanikal dipilih sebagai ladang contoh oleh Jabatan Pertanian daerah ini.

“Kebaikan tanaman ini hasilnya lebih selamat untuk dimakan, hasil lebih tahan lama dan berkualiti serta pengeluaran lebih banyak dan pokok mampu bertahan dalam mengeluarkan hasil sehingga enam bulan.

“Kita akan membantu memberi rumah lindungan hujan kepada pengusaha, dan keperluan lain yang sesuai,” katanya ketika dihubungi Bernama, mengenai projek tersebut. – Bernama

Sumber: Sinar Harian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*