WAJIB AMBIL TAHU!!!BILAKAH SEPATUTNYA SUAMI HARUS TINGGALKAN TEMPAT TIDUR ISTERI?

Suatu hari, seorang sahabat datang bertanya kepada saya, bilakah sepatutnya suami tinggalkan tempat tidur isteri? atau suami boleh sesuka hati meninggalkan tempat tidur isteri? Saya tanyakan sebabnya, beliau berkata “hal ini kerana malam semalam saya berselisih faham dengan suami saya tentang perkara kecil iaitu berkaitan apa yang dikatakan oleh ibu kepada suaminya semasa berkunjung ke rumah ibunya…lalu si suami merasakan isterinya terasa hati dengan ibunya sedangkan ia langsung tidak begitu….hanya berniat utk bertanya. malam itu mereka suami isteri telah berselisih faham dan tidak bercakap sesama sendiri. Lantas pada malam itu, si suami tetiba meninggalkan tempat tidur isterinya atas salah faham yang terjadi. kepada sahabatku, setelah pencarian demi pencarian dilakukan akhirnya ana’ bertemu jawapan ini….renungkan…

Antara hak dan kewajiban suami ke atas isterinya ialah:

(1) Suami berkewajiban memberi nafkah kepada isterinya seperti makanan, minuman, pakaian mahupun tempat tinggal dengan cara yang baik. Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam:

Engkau (suami) harus memberinya makan jika engkau makan dan memberinya pakaian jika engkau berpakaian. Janganlah engkau menempeleng wajahnya, janganlah engkau menghinanya, dan jangan pula membiarkannya kecuali di dalam rumah.” [HR Ahmad, Abu Dawud, Ibn Hibban]

(2)  Suami berkewajiban memenuhi keperluan seksual isterinya, walaupun hanya sekali dalam masa empat bulan, yakni jika keadaan tidak mengizinkan. Keadaan ini ditetapkan berdasarkan Firman Allah Subhanahu wa Taala:

Kepada orang-orang yang hendak bersumpah untuk menjauhkan dirinya dari isteri-isterinya, bagi mereka ada masa tangguh sampai empat bulan. Kemudian jika mereka kembali kepada isterinya maka sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ al-Baqarah (2):226]

(3)  Minimum tidur bersama isteri sekali dalam setiap empat hari. Pada masa Umar bin al-Khatthab ketetapan semacam ini pernah dilakukan. Ketetapan Umar ini diambil dari firman Allah;
Nikahilah wanita-wanita yang kalian senangi dua, tiga, atau empat.” [TMQ an-Nisa’ (4):3]

Ini bermaksud, jika seorang suami itu mempunyai empat orang isteri (maksimum) maka jarak giliran antara setiap orang isteri adalah empat hari. Jadi, berdasarkan mafhum ayat, empat hari adalah had maksimum bagi suami melayani hak tidur isteri, walaupun isterinya adalah seorang.

(4) Berbuat adil dalam pembahagian jika suami mempunyai isteri lebih dari seorang. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:

Siapa saja yang mempunyai dua orang isteri, kemudian dia lebih cenderung kepada salah satunya, maka orang itu pada hari kiamat akan dipapah oleh seseorang kerana jatuh atau tertatih-tatih.” [HR at-Tirmidzi]

(5) Jika isterinya seorang gadis, maka si suami hendaklah tinggal bersamanya selama tujuh hari dari permulaan pernikahannya dan tiga hari (dari tarikh pernikahan) jika isterinya seorang janda. Ini di ambil dari sabda Rasulullah yang ertinya:

Bagi gadis tujuh hari, sedangkan bagi janda tiga hari, kemudian barulah ia kembali kepada isterinya yang lama.” [HR Muslim]

(6) Suami disunnahkan memberikan izin kepada isterinya jika ingin melihat saudaranya yang sakit atau menziarahi jika ada yang meninggal dunia.

Di antara hak suami atas isterinya ialah:

(1) Isteri wajib mentaati suaminya dalam hal kebaikan, bukan dalam kemaksiatan kepada Allah. Namun demikian, seorang suami hendaknya tidak memberatkan atau menyusahkan isterinya. Ketentuan semacam ini diambil dari Firman Allah:

Jika isteri-isteri kalian mentaati kalian maka janganlah kalian mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka.” [TMQ an-Nisa’ (4):34]

Rasulullah juga bersabda:

Sekiranya aku dibolehkan menyuruh seseorang bersujud kepada orang lain, nescaya aku akan menyuruh seorang isteri bersujud kepada suaminya.” [HR at-Tirmidzi]

(2) Seorang isteri wajib menjaga harta kekayaan dan rahsia suaminya. Ia juga tidak boleh keluar rumah kecuali atas izin suaminya. Ketentuan ini diambil dari sabda Rasulullah:

(Sebaik-baik wanita adalah) yang membahagiakan suaminya jika ia memandangnya, yang sentiasa mentaati suaminya jika ia memerintahnya, dan yang tidak bermaksiat terhadap suaminya atas dirinya dan hartanya dengan sesuatu yang dibenci suaminya” [HR an-Nasa’i]

(3) Berpergian bersama suaminya jika diajak. Sebab, berpergian bersama suami merupakan hak suami yang wajib ditaati oleh isterinya.

(4) Isteri wajib melayani suami jika suami mahu bersamanya. Ini kerana, melayani keperluan seksual suami merupakan kewajipan isteri dan hak bagi suami. Dalam sebuah hadis disebutkan:
Jika seorang suami mengajak isterinya untuk tidur bersama, kemudian isterinya menolaknya, hingga suaminya marah, maka malaikat akan melaknatnya hingga pagi hari.” [Muttafaq ‘alaih]

(5)  Seorang isteri wajib meminta izin suaminya jika ia hendak mengerjakan puasa sunat. Hal ini didasarkan pada sabda Rasulullah:

Tidak halal bagi isteri untuk melakukan puasa ketika suaminya menyaksikannya, kecuali berdasarkan izinnya.” [Muttafaq ‘alaih].

Apa yang diterangkan di atas hanyalah sebahagian dari hak dan tanggungjawab di antara suami isteri di dalam kehidupan rumah tangga. Jika suami tidak menunaikan hak isterinya, suami tersebut telah melakukan kesalahan. Begitu juga, jika seorang isteri tidak memenuhi hak suaminya ia telah melakukan nusyuz.

Nusyuz
Nusyuz adalah pelanggaran isteri terhadap perintah dan larangan suami secara mutlak. Hukum nusyuz berlaku apabila si isteri melanggar perintah dan larangan suami semasa berada di dalam hayatul khas/kehidupan khusus (rumah tangga) seperti di dalam rumah. Adapun jika seorang isteri melanggar perintah suaminya di luar kehidupan khusus itu, ini tidak dinamakan nusyuz.
Syariat Islam telah menetapkan beberapa hak suami yang perlu dijalankan oleh seorang isteri. Antaranya menguruskan rumah tangga. Apabila seorang suami menyuruh isterinya membancuh teh, membasuh pakaian, memasak, memandikan anak-anak dan menggosok pakaiannya, jika isterinya tidak mahu melakukannya, ini bermakna isterinya itu telah melakukan nusyuz terhadap suaminya.

Begitu juga, jika seorang suami melarang isterinya bertabarruj (berhias diri) atau tidak memakai tudung di hadapan tetamunya di dalam rumah, jika isterinya melanggar larangan suaminya itu, maka isteri tersebut telah melakukannusyuz. 

Sebaliknya jika suami tersebut melarang si isteri keluar rumah bertabarruj atau tidak memakai tudung (di luar rumah –hayatul am), jika si isteri tersebut tidak mengikut larangan suaminya itu, ini tidak dinamakan nusyuz kerana perbuatan itu bukanlah di dalam hayatul khas. Isteri tersebut telah melakukan keharaman kerana melanggar perintah Allah, cuma perbuatan tersebut tidak termasuk kategori nusyuz kerana berlaku di dalam hayatul am.

Contoh yang sama adalah jika si suami melarang isteri dari mencuri. Namun isteri melanggar perintah suami dan tetap mencuri (contohnya mencuri di pasar raya), maka isteri tersebut telah melakukan dosa dan keharaman. Namun ini tidak termasuk di dalam kategori nusyuz. Dan dari segi hukuman, isteri tersebut wajib dipotong tangannya oleh negara (Khilafah) dan bukannya dikenakan hukuman nusyuz oleh suami.

Ketika syariat Islam telah menetapkan hak suami secara umum untuk memerintahkan isterinya melakukan sesuatu, atau melarangnya, syariat juga telah membenarkan beberapa hal dari keumuman tersebut. Misalnya, syariat membolehkan seorang wanita untuk menjalankan perniagaan, mengajar, menghubungkan silaturrahim, pergi ke masjid, menghadiri ceramah ataupun seminar dan sebagainya. Seandainya si isteri melanggar larangan suaminya ini, maka si isteri tersebut tidak jatuh nusyuz kerana ini merupakan hak di dalam kehidupan umum yang dibenarkan oleh Allah ke atas wanita. Namun si isteri mestilah meminta izin kepada suami untuk keluar rumah dan mesti mentaati keputusan suaminya selama mana tidak melanggar syarak.

Syariat Islam juga telah mewajibkan wanita untuk berdakwah dalam masyarakat. Ini bermakna wanita/isteri juga wajib berdakwah, sebagaimana lelaki/suami. Seandainya si suami melarang si isteri untuk keluar berdakwah, ini adalah satu kesalahan bagi pihak suami. Meski demikian, jika di rumah ada kewajipan lain seperti menguruskan anak-anak, menyiapkan pakaian, makan dan minum suami, maka hal ini hendaklah dilakukan terlebih dahulu oleh si isteri.

Hukuman nusyuz.

Hukuman nusyuz telah dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Taala sebagaimana firmanNya yang bermaksud:

Wanita-wanita yang kalian khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka, tinggalkanlah mereka di tempat tidurnya, dan pukullah mereka (dengan pukulan yang tidak membekas), jika mereka mentaati kalian, janganlah kalian mencari-cari alasan untuk menghukum mereka” [TMQ an-Nisa’(4):34)

Jadi bentuk hukuman tersebut (dan mesti dilakukan menurut urutan) adalah:

1. menasihatinya dan memberi peringatan kepadanya.
2. mengasingkan tempat tidur.
3. memukulnya dengan pukulan yang tidak membekas.

Semua hukuman tersebut ditetapkan sebagai cara agar seorang isteri mentaati suaminya. Jadi, apabila isteri melakukan nusyuz, maka penyelesaiannya mestilah mengikut hukuman di atas.

Di samping itu, satu hal yang semestinya diperhatikan adalah bahawa kehidupan suami isteri harus merupakan bentuk kehidupan berkeluarga yang penuh dengan kasih sayang dan rahmat (mawwadah wa rahmah ). Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:

Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap keluarganya, dan akulah orang yang terbaik di antara kalian terhadap keluargaku.” [HR Muslim]

Sumber:kandadinda.com

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*