“Saya pernah menutup semua pintu untuk Allah swt”- Mizz Nina

Saat bertentang mata dengan wanita ini, sungguh tidak percaya beliau pernah beraksi di pentas MTV dan menjadi artis pembukaan untuk konsert Pit Bull. Biarpun beliau sudah meninggalkan ‘dunia’ itu, namun senyumannya lebih lebar dan itu menandakan beliau betul-betul gembira dengan kehidupannya sekarang.

Mizz Nina, satu nama yang pernah berada di puncak industri hiburan sebagai seorang penyanyi dan pengacara. Pernah berkolaborasi dengan artis antarabangsa seperti Theo Martins, Colby O’ Donis, Flo Rida, Jay Park dan ramai lagi.

Namun, tatkala dunia glamour memberi perhatian kepadanya, isteri kepada Noh Salleh ini telah mengambil keputusan yang agak drastik iaitu untuk berubah. Jika dulu beliau terkenal dengan imejnya yang seksi tapi kini beliau lebih selasa dengan pakaian yang menutup aurat.

Apabila ditanya mengapa beliau mengambil jalan itu, ini jawapan Mizz Nina;

“Ketika saya berada di puncak, saya merasa seperti kehilangan sesuatu. Walaupun saya sibuk dengan pelbagai aktiviti dan persembahan, saya tetap rasa kosong. Sampaikan satu tahap, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya mengubah hidup saya ke dimensi yang baru.”

Penghijrahan Mizz Nina mengejutkan ramai pihak. Bukanlah satu perkara yang mudah bagi seseorang yang dikenali sebagai artis bertaraf antarabangsa untuk berhijrah dan menjadi seorang yang muslimah.

Antara cabaran yang dihadapi oleh beliau adalah istiqamah. Sewaktu beliau nekad untuk berhijrah perkara yang paling sukar baginya adalah untuk menukar gaya hidup. Malah, beliau juga mengambil masa yang agak panjang untuk menerima bahawa beliau perlu menyarung hijab. Baginya, ‘the struggle is real.’

Namun, Mizz Nina berpegang pada satu hadis riwayat sahih Muslim yang berbunyi, ‘Barangsiapa yang berusaha mencari ilmu, Allah akan mempermudahakan jalannya menuju ke syurga’. Jadi, semenjak dari itu, Mizz Nina terus fokus dalam membina kehidupannya di jalan Allah swt.

Tatkala diminta untuk memberi sedikit nasihat kepada para remaja, sambil tersenyum Mizz Nina bercerita keadaanya satu ketika dahulu,

“Saya pernah menutup segala pintu untuk Allah swt. Saya pernah berada dalam situasi yang tidak melakukan perkara-perkara yang beriman kepada Allah,
Kepada remaja di luar sana, jangan sesekali menutup pintu buat Allah. Jika anda tidak sembahyang, sekurangnya berpuasalah. Jika anda tidak berpuasa, sekurangnya sembahyanglah. Jika anda tidak membuat kedua-duanya, berdoalah agar Allah memberi kebaikan kepada diri sendiri.” Pesannya dengan penuh semangat.

Mizz Nina juga menekankan kepada remaja supaya jangan sesekali mengorbankan agama semata-mata untuk meraih popularity. Jangan lakukan satu perkara kerana mahu menjadi terkenal. Buat sesuatu kerana Allah adalah yang terbaik. Sekiranya popularity mendamping anda, itu adalah satu bonus kepada anda.

Mizz Nina turut berkongsi satu tips bagaimana beliau kembali bangkit tatkala berada di ‘lowest point’, katanya;

“If I’m down, I change my attitude.”

Mizz Nina akan kembali melihat kehidupannya dan bersyukur kepada Allah swt dengan apa yang beliau ada. Setiap kali dia mengucap rasa syukur dan Alhamdulillah beliau merasakan hidupnya akan lebih baik dan gembira.

Bukan itu sahaja, Mizz Nina akan mencari rakan-rakan yang boleh membuatnya kembali mengingati Allah. Mizz Nina percaya kawan yang baik akan menyedarkannya akan Allah swt. Beliau juga akan menyertai mana-mana kelas keagamaan untuk kembali bangkit sekiranya beliau berada di lowest point.

Mizz Nina, seorang wanita yang wajar menjadi pengajaran dan ikon kepada seluruh remaja yang melihat popularity itu satu perkara yang penting. Kisah penghijrahannya patut diberi perhatian agar lebih ramai remaja akan sedar bahawa ‘dunia’ yang sering dipaparkan seronok dan gembira itu sebenarnya kosong.

Hari ini biarpun beliau bukan lagi seorang penyanyi, namun beliau terkenal akan kerja-kerja kemanusiannya. Malah, beliau juga memilih untuk terus terlibat dalam industry seni dengan mengasakan DOPSTV; saluran berkonsepkan Islamik.

Semoga kisah Mizz Nina ini akan membuka mata masyarakat untuk lebih dekat kepada agama dan Allah swt.

Sumber: Buzzkini.com

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*