Masyallah…Luasnya Neraka Jahannam!!! Jauhkan Keluarga Ku Ya Allah

Bismillahirrahmanirrahim. Percaya dan beriman kepada hari akhirat adalah wajib bagi mereka yang bergelar Islam. Pada hari akhirat kelak, semua umat manusia akan dihisab akan segala amalan sepanjang kehidupannya di dunia baik mahupun buruk. Amalan-amalan yang dihisab itu kemudiannya akan sama ada diberi ganjaran yang istimewa disisi Allah atau pembalasan penyeksaan yang menakutkan.

Oleh itu, kali ini Aisya akan menceritakan secara ringkas tentang neraka Jahannam (bukanlah gambaran sebenar) bagaimana yang terdapat dalam neraka Jahannam berdasarkan sumber Al-Quran dan Al-sunnah.

Neraka merupakan tempat pembalasan dan penyeksaan yang disediakan oleh Allah S.W.T kepada makhluk Allah yang mengingkari perintah-Nya. Allah S.W.T menceritakan mengenai pintu neraka Jahannam dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Jahannam itu mempunyai tujuh pintu. Setiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan tertentu daripada mereka.” (Al-Hijr: 44).

Neraka mempunyai 7 tingkat namun neraka Jahannam terkenal kerana neraka inilah akan dihuni oleh orang Islam yang berdosa. Neraka Jahannam itu mempunyai 7 tingkat. Setiap tingkat memiliki 70, 000 daerah. Setiap daerah meliputi 70, 000 kampung. Setiap kampung mencakupi 70, 000 rumah. Setiap rumah mempunyai 70, 000 bilik. Setiap bilik pula memiliki 70, 000 kotak. Setiap kotak meliputi 70, 000 batang pokok zarqum.

Di bawah setiap batang pokok zarqum itu mempunyai 70, 000 ekor ular. Di dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta mengandungi lautan racun yang hitam pekat. Di bawah setiap pokok zarqum itu juga mempunyai 70, 000 tali rantai yang mana setiap tali rantai ditarik oleh 70, 000 malaikat.

Ya Allah, begitu luasnya neraka Jahannam sehingga tidak dapat kita bandingkannya dengan keadaan apa pun di dunia ini. Neraka Jahannam itu dipagari dengan pagar yang dinamakan Al-Suradiq yang mengelilingi orang yang di dalam neraka Jahannam tersebut. Gambaran keluasan neraka Jahannam diceritakan oleh Ibnu Abbas yang bertanya kepada mujahid:

“Tahukah engkau bagaimana luasnya neraka Jahannnam itu?” Mujahid itu menjawab: “Tidak”. Lalu Ibnu Abbas berkata: “Mungkin engkau belum tahu bahawa orang yang masuk ke dalam neraka itu menjadi besar badannya. Antara telinga mereka dengan tengkuknya sahaja perjalanan mengambil masa tujuh puluh tahun, yang mana di situ ada lembah tempat mengalir kahak dan darah.” Mujahid itu kemudiannya bertanya: “Adakah disana ada sungai?” Ibnu Abbas menjawab: “Tidak, di sana hanya ada lembah.” Ibnu Abbas bertanya lagi: “Tahukah engkau luas titian Jahannam?” Mujahid menjawab: “Tidak.” Ibnu Abbas berkata: Aisyah R.A bercerita kepadaku bahawa beliau bertanya kepada Rasullulah S.A.W tentang maksud ayat:

“Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya, padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari kiamat, dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya.” (Al-Zumar: 67).

Mendengar ayat itu Aisyah R.A bertanya: “Kalau begitu dimana manusia ketika itu?” Rasulullah menjawab: “Di atas titian neraka Jahannam. Disebabkan luas dan besarnya pagar neraka Jahannam itu maka tiada siapa pun dapat lari daripadanya.”

Dalam hadith dari Ibnu Mas’ud r.a, berkata bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Panas api yang kamu nyalakan di dunia ini (termasuk matahari) hanyalah sepertujuh puluh dari panasnya api neraka di akhirat. Kalau sebahagian kecil (api neraka) jatuh ke dunia, nescaya mendidihlah air laut kerana panasnya. (H.R. Muslim).

Suasana dalam neraka Jahannam adalah gelap, berasap dan hitam. Keseluruhan neraka itu hitam gelap, airnya hitam, pokoknya hitam serta orang yang diseksa di dalamnya juga hitam. Berdasarkan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Pada hari yang diwaktu itu ada muka yang putih berseri, dan ada pula muka yang hitam muram.” (Ali Imran: 106).

Kedalaman neraka Jahannam itu pula diberitakan berdasarkan Firman Allah:
“(Peringatkanlah manusia) akan hari itu Kami bertanya kepada Jahannam: Apakah kamu sudah penuh? Neraka Jahannam menjawab: Adakah lagi sebarang tambahan?” (Qaf: 30).

Menurut riwayat Abu Hurairah r.a bahawa dalamnya neraka Jahannam itu sungguh dalam sehinggakan sekiranya dicampakkan batu ke neraka itu, tujuh puluh tahun barulah batu itu sampai ke dasarnya. Abu Hurairah meriwayatkan:

“Pada suatu hari kami berada di sisi Rasulullah, tiba-tiba baginda mendengar suara kuat yang memeranjatkan. Baginda berkata: ‘Tahukah kamu suara apakah itu?’ Kami menjawab: ‘Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.’ Baginda berkata: ‘Ini adalah suara batu yang dilemparkan ke neraka semenjak tujuh puluh tahun yang lalu dan sekarang ia baru sampai ke dasarnya.’”

Di dalam neraka Jahannam itu juga diberitakan adanya lembah dan gunung. Ata’ bin Yasar berkata: Kalimah Al-Wail dalam Al-Quran itu maksudnya lembah daripada api neraka Jahannam, yakni tempat membakar orang kafir. Seandainya gunung yang ada di dunia dicampakkan ke lembah itu, akan menjadi debulah ia kerana panasnya. Dalam hadith lain dari Anas r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya Wailun itu suatu lembah di dalam neraka Jahannam. Dalamnya lembah itu sejauh empat puluh tahun perjalanan bagi orang kafir baru sampai ke dasarnya.” (H.R. Muslim).

Syafi Al-Asbahiy berkata: Di neraka Jahannam ada gunung yang disebut Al-Sa’ud. Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:
“Aku akan membebaninya mendaki pendakian yang menyusahkan.” (Al-Muddathir: 17).

Jadi, pekongsian yang sedikit ini jelas menunjukkan bahawa azab yang diterima oleh makhluk Allah yang mengingkari perintah-Nya diseksa dalam neraka Jahannam. Mendengarkan kepada keluasan dan kedalaman neraka Jahannam itu sahaja telah membawa kepada betapa gerun dan pedihnya balasan yang diterima kepada makhluk yang mengingkari perintah-Nya.

Sesungguhnya azab api neraka itu sangatlah sengsara. Sedangkan api di dunia ini pun tak dapat kita menahannya, apatah lagi api neraka yang berganda-ganda panasnya. Oleh itu marilah kita memohon ampun dan bertaubat kepada Allah SWT supaya kita terhindar daripada azab api neraka yang amat dahsyat.

“Dan bagi orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhan mereka, disediakan azab neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.” (Al-Mulk: 6).

Wallahua’lam.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*