KENALI TUHAN YANG MENGUJIMU

Apabila ujian kesakitan, perpisahan , kegagalan, kemiskinan datang bertimpa-timpa, terdetik juga kata di dalam hati, apa Tuhan masih sayangkan aku? Kenapa aku diuji seberat dan sekerap begini?

“Subhanallah,tanpa disedari seolah-olah kita telah mempersoalkan kuasa Tuhan, padahal kita hanyalah hamba-Nya. Hamba tidak berhak menyoal, sebaliknya akan disoal. Namun itulah kelemahan manusia. Kita sering alpa dan terlupa.

Paling malang manusia kerap terlupa bahawa dirinya hamba.Terutama ketika diuji. Sebab itu Allah mengajar kita agar mengucapkan kalimah ‘istirja’ setiap kali diuji………innalillah wa inna illahihirajiun, yang ertinya ‘kami ini milik Allah dan kepadaNya kami akan dikembalikan’ Ya, inilah kalimah yang mengingatkan bahawa kita ini milik Tuhan, Tuhan layak menguji kita dan kita layak diuji. Jangan sekali-kali menolak apalagi mengamuk apabila diuji, kita hanya hamba….

Namun untuk meringankan kepedihan ujian yang menimpa, hendak kita mengenal Allah yang memberi ujian itu.Kenallah sifat ilmu, kasih sayang dan belas ihsan Allah yang Maha hebat. Sebagai hamba ilmu kita terbatas, ilmu Allah yang Maha Luas. Kasih sayang kita cuma seraut, kasih sayang Allah selaut. Orang yang mengenal Allah akan mencintaiNya. Bila sudah cinta ,kuranglah derita diuji. Bukankah cinta itu buta?

Orang yang mengenal kasih sayang Allah punya keyakinan bahawa keputusan (takdir) itu akan memberikan yang terbaik. Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, tidak akan memberi sesuatu yang buruk untuk hambaNya. Justeru, hamba yang baik tidak akan berburuk sangka terhadap Allah dengan merasakan apa yang ditakdirkanNya (ujian) itu ialah sesuatu yang tidak baik.

Yakinlah bahawa semua ketentuan Allah itu adalah baik. Ujian itu ada kemuslihatan yang tersembunyi untuk setiap kita. Pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik, cuma kita tidak tahu atau belum mengetahuinya. Bila berlaku nanti barulah kita tersedar, Ya Allah, mujur Kau takdirkan begitu.
Kata arifbillah (orang yang mengenal Allah),”sekiranya kita merasakan kasih sayang Allah itu terpisah apabila Dia menguji kita, itu petanda tumpulnya akal, butanya mata hati.”

Diantara hikmah ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan tujuannya untuk menjadi hamba Allah. Yang mana selama ini jalan itu disekat oleh hawa nafsu. Sebab ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan nafsu dan syahwat manusia. Nafsu yang buas dan liar untuk melakukan maksiat itu tidak suka pada sakit, rugi, miskin dan lain-lain. Lalu apabila diuji , nafsu itulah yang terdesak, tidak senang dan ingin segera terlepas daripada ujian itu.

Jadi apabila nafsu terdesak hati dan akal terbuka. Inilah jalan kebaikan, kerana ajakan untuk melakukan kejahatan akan turut tertahan., kerana nafsu itu sangat mengajak pada kejahatan. Ujian itu sesungguhnya akan melemahkan nafsu, menghilangkan kekuatannya serta batalkbalik kepahitan ujianan kudratnya. Bila nafsu lemah, manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa, mengejar kesoronokan dunia sehinnga melupakan batasan syariat.

Ujian juga menimbulkan rasa taat kepada Allah.Hati tidak dapat tidak mesti bersabar.Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal kerana Qada dan Qadar-Nya mesti berlaku. Manusia akan lebih dekat dengan agama, kepentingan akhirat, cinta kepada Allah. Hikmah ini walau sebesar zarah tetapi apabila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung.Inilah kebaikan disebalik kepahitan ujian. Justeru Allah berfirman:
“…..Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah megetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” (surah Al Baqarah:216)

Dengan ujian juga Allah’membersihkan’ kekotoran hati manusia. Ujian itu menghapuskan sihkandosa dan kesalahan terhadap Allah seperti bahan pencuci membersihkan kain yang kotor. Nabi Isa pernah berkata, “belum dikatakan seseorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya. kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.”

Bila kita benci dengan ujian, ertinya belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dan membersihkan dosa-dosa kita. Ya, seolah-olah orang yang benci diuji itu tidak suka dibersihkan daripada dosa-dosa atau apakah dia merasa tidak berdosa?Sebaliknya apabila kita gembira (menerima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga daripada Allah. Kita bukan saja berikhtiar (berusaha) untuk menghilangnya tetapi juga berusaha untuk mendapatkan hikmahnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda”barangsiapa yang dikehendaki Allah pada orang itu kebaikan, maka Allah akan cuba dengan ujian-Nya.” Jadi bila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tiada hikmahnya. Orang yang soleh bila diuji, hikmah-hikmah ujian itu akan mendekatkan mereka kepada Allah.Tapi bagi anti diuji, tidak akan dapat melihat hikmah kerana akal dan hatinya melihat sesuatu hanya selari dengan hawa nafsunya sahaja.

– Petikan dari blog Pahrol Mohd Juoi
http://genta – rasa.com

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*