Hormat Itu Wajib Walau Kena Pukul? – Dilema Seorang Wanita

Ada wanita sanggup bertahan walau selalu dipukul. Kadang anak jadi mangsa. Kenapa masih bertahan jika suami makin ego, tambah mendera mental dan fizikal?

Nak kata sayang, macam itu ke cara tunjuk sayang? Ya, seorang isteri wajib hormati suami dan Islam tentukan seorang suami juga wajib menghormati isterinya.

Mesti suami tertanya-tanya macam mana cara nak hormat isteri. Bukan memuja atau nak kena ikut jari telunjuknya. Cukup hormat sebagai manusia, sama seperti yang anda inginkan dalam kehidupan harian. Tolonglah jangan main maki suka hati, salahnya ditegur secara baik dan diperbetulkan, belai dirinya sepanjang masa bukan hanya untuk ‘bersama’, curi masa untuk berbual dengannya, bergurau senda malah jangan dipukul sesuka hati.

Hak suami memukul untuk mengajar? Tunggu dulu, suami tak diberikan hak memukul hingga menyebabkan derita walau dengan tujuan mengajar.

Wahai isteri, hormati suami memang wajib tapi bukan bermaksud sampai kena menafikan hak untuk turut dihormati. Syariat berikan anda hak khusus sebagai isteri di dalam perkahwinan: untuk hidup tenang dan bahagia bersama suami yang disayangi.

Andai suami tak memberikan anda ketenangan jiwa dan kebahagiaan diri, kekal hormati dirinya dan terus hormat diri anda sendiri dengan berusaha untuk menuntut hak anda yang sewajarnya menurut syariat dan undang-undang.

Kalau suami mendera fizikal dan mental, bermaksud anda adalah mangsa keganasan yang mana sebarang bentuk perlakuan yang mendatangkan bahaya, bukan sahaja dalam bentuk fizikal tapi apa juga cara yang boleh menyebabkan gangguan mental dan emosi kepada mangsa. Bila anda menjadi mangsa, syariat dan undang-undang tidak menafikan hak anda.

Contohnya seksyen 52, Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-wilayah Persekutuan memperuntukkan: “seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut antaranya suami menganiayainya, iaitu antara lain lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya.

Jangan terlalu mudah menyalahkan orang lain atas derita yang anda hadapi sedangkan diri anda sendiri membiarkan derita itu kekal bersama anda.

mingguan wanita

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*